Pengalaman Bercuti Di Pulau Langkawi Bersama Keluarga
Waktu hujung minggu yang dihiasi dengan rintisan air hujan yang mendamaikan, diri ini terpanggil untuk membuat secawan kopi panas sambil menikmati udara pagi yang segar di halaman rumah. Sambil menikmati sarapan pagi bersama keluarga, tiba-tiba timbul rasa rindu tatkala teringat percutian indah bersama keluarga baru-baru ini.
Trip ke Langkawi pada kali ini memang sangat random dan kami tak buat apa-apa perancangan dengan teliti pun. Tambahan pula, ini bukan kali pertama kami ke Langkawi dan kami sudah agak familiar dengan kawasan sekitar. Nak dijadikan cerita, kakak kongsi mengenai posting kawan baiknya yang sedang berbulan madu di Langkawi pada ketika itu dan mereka sempat singgah ke Paradise 101, pulau kecil yang sangat terkenal di sana. Ibu mungkin terdengar perbualan kami, tiba-tiba dia kata “Jom la ajak ayah pergi holiday. Dah lama sangat kita tak berjalan kan, Ajak keluarga abang sekali, mesti seronok”.
So.. bermula la percutian yang tidak dirancang ini. Kebetulan pula sudah dekat dengan perayaan Thaipusam yang jatuh pada hari hari Selasa, jadi kami terus sepakat untuk bercuti selama 3 hari 2 malam di Langkawi. Dalam sehari selesai segala urusan tempahan tiket flight dan hotel.
Sambil survey tiket dan hotel, sempat juga menjenguk laman web Paradise 101 dan ternyata begitu banyak aktiviti yang boleh dilakukan di sini! Macam tak percaya sepanjang percutian di sana, tak pernah sekali pun kami jejakkan kaki di Paradise 101. Boleh kata rambang mata la bila lihat senarai aktiviti yang disediakan di sini dan kebanyakannya adalah aktiviti sukan air seperti kayak, jet ski, snorkeling, zipline dan ada juga taman tema air mini di sini! Boleh terus tempah tiket secara online di laman web mereka atau pun walk-in tapi kalau tempah awal-awal lebih jimat la.
Contents
Langkawi Here We Come!
Macam tak percaya pula baru saja berborak kosong dengan kakak, seminggu selepas itu kami sekeluarga selamat tiba di pulau tropikal yang sangat terkenal di Malaysia ini. Seperti biasa, sebaik saja tiba di airport kami terus collect kereta sewa di sana. Bila di Langkawi, sebaiknya anda sewa kereta sendiri berbanding bergantung pada kenderaan awam. Jimat masa, tenaga dan senang kalau nak ke mana-mana. Tapi kalau nak guna e-hailing seperti Grab pun boleh juga. Ikut pada keselesaan masing-masing.
Selesai urusan pick-up kereta, kami terus ke hotel yang terletak berhampiran Pekan Kuah dan mengambil masa lebih kurang 30 minit dari airport. Kami tiba di hotel jam 12pm untuk selesaikan urusan check-in lebih awal dan terus pergi makan tengahari di Nasi Dagang Pak Malau yang terletak di Jalan Makam Mahsuri, sekitar 20 minit dari hotel. Nasi dagang di sini memang sangat terkenal di kalangan penduduk sekitar dan juga pelancong yang datang ke Langkawi. Kebiasaannya, pelanggan akan serbu pada waktu pagi untuk sarapan sambil menikmati pemandangan sawah padi yang menghijau. Antara menu popular di sini adalah Nasi Dagang Gulai Ikan dan juga Nasi Dagang Gulai Ayam Kampung. Memang sedap! Ada juga menu lain disediakan di sini kalau anda nak cuba.
Selesai makan tengahari, kami berjalan santai di sekitar Pekan Kuah sambil menikmati pemandangan sekeliling. Waktu sebegini, lebih-lebih lagi di kawasan pulau, terik mentarinya memang luar biasa jadi kami ambil keputusan untuk berjalan-jalan dalam kereta saja sambil menunggu waktu check-in. Disebabkan trip kali ini memang sangat spontan, jadi jadual percutian kami tidak la padat seperti sebelum ini. Cuma ingin berehat dan luangkan masa bersama keluarga.
Setelah selesai check-in di bilik masing-masing, bersihkan diri dan berehat, kami berkumpul semula di lobi hotel sebelum bergerak ke Dataran Lang, salah satu tempat ikonik di Langkawi. Mustahil kalau anda tak pernah dengar mengenai tempat yang terkenal dengan arca burung helang gergasi ini. Jarak Dataran Lang dari hotel kami cuma lebih kurang 2km sahaja. Waktu petang memang masa yang sesuai untuk berjalan di sekitar pulau ini kerana tidak begitu panas dan kanak-kanak pun boleh bermain dengan selesa.
Sengaja kami singgah di Dataran Lang sebelum waktu makan malam kerana ingin ke Fish Farm Restaurant yang terletak hanya 6 minit dari sana. Setelah puas bergambar di sekitar dataran dan melihat matahari terbenam, kami pun bergegas ke salah satu restoran seafood yang terkenal dan antara yang tertua di Langkawi. Kalau nak makan seafood di sini, anda memang perlu pergi awal kerana kebanyakan pengunjung gemar makan pada waktu malam dan queue di sini boleh tahan panjangnya. Di sini, anda boleh pilih pelbagai jenis seafood segar dengan harga yang berpatutan. Antara menu yang terkenal di restoran ini adalah Siakap Sweet Sour, Kerapu Kukus Ala Nyonya, Ketam Bercili, Sotong Goreng Tepung dan banyak lagi! Kalau anda datang ke sini, jangan lupa singgah di Kuah Fish Farm Restaurant. Confirm puas hati.
Paradise 101 Langkawi – Play, Relax, Refresh
Tujuan utama trip kali ini untuk melawat pulau persendirian di bawah naungan Naam Sdn Bhd yang terletak di Teluk Burau. Ia merupakan pulau yang ke-101 di Langkawi dan merupakan tarikan terkini di sini lebih-lebih lagi buat peminat sukan air dan aktiviti lasak. Pulau ini dikatakan mula dibuka pada tahun 2015 dan dekorasi ala Bali di sini menjadi salah satu tarikan utama buat pelancong.
Mereka ada menyediakan bot khas untuk membawa para pengunjung ke Paradise 101 melalui jeti yang terletak di antara Pantai Kok dan Telaga Harbour Marina. Perjalanan dari jeti ke Paradise 101 tak mengambil masa yang lama pun, sekitar 5 minit sahaja. Pulau eksklusif ini memang luar biasa cantiknya kerana berlatarbelakangkan Lautan Andaman yang membiru. Pemandangan nya saja sudah cukup menenangkan.
Di sini, terdapat beberapa aktiviti dan pakej-pakej menarik yang anda boleh cuba dengan harga sekitar RM50 hingga RM400++. Antara pakej yang disediakan di sini adalah Sunset Cruise + Banana Boat/Kayak, Jet Ski + Banana Boat/Kayak, Parasailing + Banana Boat/Kayak dan banyak lagi. Kalau anda tak mahu ambil pakej di sini, boleh juga cuba aktiviti yang disediakan secara berasingan seperti Zipline (RM39/person), Aqua Park (RM42/person), Kayak (RM35/person), Banana Boat (RM47/person) dan Jet Ski (RM219-RM299, bergantung pada tempoh masa). Jika ada kesempatan, anda boleh rasai pengalaman parasailing di Lautan Andaman. Pemandangan dari atas memang sangat cantik dan luar biasa!
Kalau nak jimat, ambil saja Silver Paradise Package yang berharga RM216/person yang ditawarkan di sini. Pakej ini sudah termasuk boat transfer, Aqua Park (2 jam), Kayak (30 minit), aktiviti memancing, board games, percuma air minuman dan juga evening pass. Haa jimat kan? Pakej ini memang sesuai buat seisi keluarga. Walaupun hampir seharian kami berada di sini masih rasa tak puas untuk enjoy segala aktiviti yang disediakan. Hari kedua kami di Langkawi memang sepenuhnya kami manfaatkan untuk berehat dan bermain di Paradise 101.
Oh ya, di sini juga ada disediakan tempat makan menarik tau. Jadi tak perlu risau nak bawa bekalan makanan banyak-banyak kerana anda perlu rasai pengalaman kulinari yang menarik di OMG Restaurant. Restoran ini memang sangat terkenal di kalangan pelancong dan tersenarai di antara tempat makan menarik Langkawi. Pizza merupakan menu yang popular di sini kerana chef mereka menggunakan resipi istimewa yang membuatkan pizza di sini sangat unik dan sedap sehingga menjilat jari! Selain itu, mereka juga ada menyediakan makanan ala Barat yang lain seperti Burger, Pasta, Chicken Chop dan Grilled Lamb. Tapi kalau anda tekak Melayu sejati, jangan risau! Di sini juga ada menyediakan makanan lokal seperti Nasi Goreng, Mee Goreng, Kuey Teow Goreng dan Mee Kari. Dessert seperti aiskrim dan waffle juga ada di sini.
Kembali Ke Alam Realiti
Seperti biasa, kalau dah sampai di Pulau Langkawi ni memang tak sah la kalau tak singgah di duty-free shop yang ada di sini kan. Disebabkan kami perlu berada di airport jam 3 petang, jadi sejurus selepas check-out dan makan tengahari, kami bergegas singgah di Haji Ismail Group yang terletak di Pekan Kuah. Di sini, terdapat pelbagai jenis coklat, pinggan mangkuk dari pelbagai jenama terkenal seperti Corelle, Pyrex, Vantage dan banyak lagi! Ini memang di antara tempat wajib singgah di sini, boleh la beli sedikit buah tangan untuk dibawa pulang.
Walaupun family trip kali ini agak random dan singkat tapi sarat dengan seribu satu memori indah yang tak dapat dilupakan. Sekali-sekala luangkan masa bersama keluarga boleh hilang segala penat lelah bekerja. Semoga perkongsian ini dapat memberi manfaat buat anda yang sedang merancang untuk bercuti di Langkawi. Jangan lupa untuk masukkan Paradise 101 sebagai destinasi percutian anda kerana anda dijamin puas hati dengan segala aktiviti dan kemudahan yang di sana. Jumpa lagi!